Rabu, 25 Mei 2011

KERANA MINAT ! ANYAMAN INDAH, WARISAN TEMUAN




Seperti biasa, Isnin adalah hari permulaan bekerja bagi setiap minggu. Kali ini Yang Berusaha Puan Pengarah KMCS serta Unit Usahawan telah mengadakan satu temu janji bersama sukarelawan produk kraf Orang Asli iaitu Cik Rieta Rahim untuk melawat sebuah lagi perkampungan Orang Asli di Kampung Paya Rumput di daerah Sepang.

Setibanya kami di sana, kami berpeluang bertemu sekumpulan usahawan wanita dari suku Temuan yang menjalankan aktiviti anyaman daun pandan dan mengkuang.

Kehadiran rombongan kami disambut mesra dan diperkenalkan dengan Puan Soeb Miah (Yau) dan lima penganyam. Kami sungguh terpegun dan teruja melihat hasil anyaman yang begitu halus dan cantik. Antara produk yang dihasilkan ialah ‘Lopa’ (dompet panjang berbutang) dan pouch. Selain itu, etnik Temuan yang juga dahulu dikenali sebagai kaum Belandas ini juga menghasilkan pakaian daripada kulit kayu yang sering digunakan dalam upacara tarian Sewang.

Rombongan kami juga telah dibawa ke kawasan penanaman daun pandan dan mengkuang di kawasan rumah mereka, selain mendapatkan bekalan dari kawasan yang berhampiran.

Buat pengetahuan semua, Puan Yau atau lebih mesra dipanggil ‘Mak’ yang kini berusia 60 tahun adalah tonggak utama bagi aktiviti anyaman Orang Asli di sini. Kepakaran beliau dalam menghasilkan anyaman ini tidak dapat dipertikaikan lagi. Menurut Cik Rieta, dalam kumpulan Orang Asli di sini, beliau adalah antara salah seorang penganyam terbaik anyaman gila (sejenis seni anyaman) yang boleh menghasilkan produk seperti pouch.

Kumpulan ini rupanya mempunyai pelbagai kemahiran. Selain menganyam dompet, mereka juga boleh menganyam ketupat besar berbagai bentuk seperti ketam, ikan, burung, sotong dan lain-lain. Anyaman origami bentuk lembu juga boleh dibuat. Suami Puan Yau pula pandai membuat sumpit buluh. Menurut Cik Rieta, produk yang dihaslkan oleh kumpulan wanita kaum Temuan ini memang sentiasa laris dan tidak mencukupi untuk jualan di promosi yang disertai oleh Gerai OA.

Walaupun pendapatan aktiviti menganyam ini tidak lumayan, namun mereka tetap gigih. Ditanya “kenapa?” spontan keluar jawapan daripada bibir ‘mak’ dan anak perempuannya Watie, “KERANA MINAT”.Penuh bersemangat mereka menyatakan, mereka juga menjaga nama suku Temuan, supaya ada kemahiran yang dapat diwariskan kepada generasi akan datang dan mereka bangga, anyaman yang diusahakan mereka itulah akan mereka tinggalkan sebagai warisan!

Pengalaman, kepakaran, budaya, bahasa, hobi dan lain-lain antara topik utama perbualan kami. Suasana ceria dan gembira terpancar setiap wajah penganyam di sini setiap kali kami memuji kehalusan anyaman dan kepakaran mereka menghasilkan produk. Cik Rieta akan mengelaskan produk kepada tiga kategori iaitu biasa, halus dan sangat halus bagi menentukan harga produk jualan mereka.

Jutaan terima kasih buat Cik Rieta Rahim dari Gerai OA dan kumpulan wanita suku Temuan Kampung Paya Rumput, Sepang. Tulisan beliau mengenai masyarakat Orang Asli boleh dirujuk menerusi laman web ini http://www.malaysiadesignarchive.org . Juga tidak lupa Mak, semoga sejahtera dan diberi kesihatan yang baik dalam usaha memartabatkan seni anyaman Temuan yang indah dan halus buatannya. :)


Inilah dia... "Puan Yau / Mak"

Kumpulan Wanita "Kembang Sejambak" :)




Baju kulit kayu yang dihasilkan oleh suku Temuan mempunyai kualiti yang tinggi


Buku resipi warna yang direkod sebagai panduan mereka menghasilkan campuran warna pada bahan


Porch anyaman gila



Terbukti "Kehalusan" anyaman yang dihasilkan oleh Kumpulan wanita kembang Sejambak tidak dipertikaikan lagi


Bos.. sila laa...pilih mana-mana yang berkenan di hati~ hihihi... :D


Melawat ke kawasan penanaman daun pandan dan mengkuang di kawasan rumah Puan Yau

3 ulasan:

  1. macam mana mahu mendapatkan item dari gambar selepas porch?

    BalasPadam
  2. Saya betul-betul nak beli daun mengkuang atau pandan sedia untuk dianyam, dekat mana di Selangor ye boleh saya beli? Pendapat, cadangan dan tips adalah sangat dihargai, terima kasih!!!

    BalasPadam